Wednesday, August 27, 2008

KULIAH 3 - Rembulan, siapa engkau?

27hb August 2008
11:15pm

Rembulan, engkau melambangkan apa? Siapa? Itulah soalan yang sering bermain-main di kepalaku. Kali ini, Dr Razif telah memulakan kelasnya dengan membaca sebuah sajak yang bertajuk "Pulang si Tanggang". Sajak ini menceritakan lebih kepada dari sudut pandangan Si Tanggang itu sendiri. Inilah kata-kata yang amat menarik perhatianku. Jarang sekali aku menggunakannya.

"Perjalanan adalah guru setia"
"Belajar menjadi kurang ajar"
" Aku bukan manusia baru. Tidak berlainan dari kamu."
"Aku adalah kau"

Setelah itu, kami semua telah ditanya pendapat kami tentang cerpen "Rembulan dalam Cappuccino". Pendapat-pendapat kami semuanya berbeza-beza. Aku sering memperhatikan raut muka Dr Razif. Mungkin dia penat. Tetapi dia sering kelihatan tertekan seakan-akan jawapan-jawapan kami tidak tepat. Seakan-akan beliau tidak boleh terima jawapan-jawapan kami itu. Kami juga disuruh untuk memberi sebab-sebab mengapa kami membuat tafsiran-tafsiran itu.
Apabila yang lain sedang asyik menerangkan tafsiran masing-masing, aku cuba bersabar dan menunggu kesempatan untuk menanyakan soalanku itu. Menunggu sampai kesemuanya memberi tafsiran masing-masing. Sebelum aku dapat pengertian yang kutunggu- tunggukan itu (aku ingin tanya Dr Razif mengapa rembulan itu boleh menukarkan saiznya; dari saiz bola pingpong hingga ke saiz bola basket), Dr Razif menamatkan kelasnya.
Alahhh..............haruslah aku bersabar lagi, masih menantikan jawapan bagi soalan yang masih bermain-main di fikiranku. "Rembulan, engkau siapa? Apa?

Tuesday, August 26, 2008

KULIAH (KEDUA)

26hb August 2008
12:51pm

Kuliah pada kali ini dimulakan dengan soalan "Apa itu Sastera?" Hah, soalan yang jarang aku duduk dan fikirkan. Beri jawapan pun salah. Gagap. Ramai yang tafsirkan sastera itu sebagai satu karya yang dikaitkan dengan emosi dan keindahan. Aku pulak berpendapat bahawa sastera itu sebuah karya yang dihasilkan oleh orang-orang 'jiwang' sahaja. Ceritanya panjang lebar dan meleret-leret. ADOI!
Definisi SASTERA: (apa yang telah dibincangkan oleh kelas)
- mempunyai kegunaan
- keindahan
- menduga akal
- harus memahami apa yang tersirat dan bukan sahaja yang tersurat
- emosi/ perasaan dikaitkan juga

Beliau telah mengatakan bahawa terdapat faktor-faktor yang boleh mempengaruhi seorang pembaca mentafsirkan makna suatu karya itu. Faktor-faktor seperti pengalamannya, 'mood', agama, jantina, cara dia dibesarkan/ dididik sama ada secara liberal ataupun konservatif dan banyak lagi. Tak tahu pulak aku faktor-faktor yang aku anggap tidak penting ini dapat membentuk sudut pandangan seorang pembaca itu. Setahu aku, baca, faham dan tulis. Tidak semudah itu apabila seorang guru itu ingin mengajar sastera Melayu. Hmmm....

Monday, August 25, 2008

Kuliah (pertama)

25th August 2008-08-25
23:15

Aku telah menghadiri kelas Dr Razif buat kali pertama. Beliau telah memberi taklimat tentang modul tersebut. Kuliah kali agak berbeza dibandingkan dengan kuliah-kuliah lain. Seperti pensyarah-pensyarah lain, beliau juga telah meminta kami untuk memperkenalkan diri masing- masing walaupun kami sudah kenal satu sama lain. Walau bagaimanapun, cara beliau agak berbeza di mana beliau telah menyuruh kami menulis sebuah elegi yang harus mengandungi elemen-elemen seperti metafora, oksimoron, kuplet dan juga aliterasi. Elemen- elemen yang cukup asing bagi kami semua tetapi kami telah berjaya mencipta elegi masing-masing. Kami harus memperkenalkan diri masing-masing melalui elegi dan harus membayangkan bahawa kami sudah tiada di dunia. Cukup menarik teknik beliau itu.

Inilah hasil karya aku yang tidak seberapa.- berpandukan lima soalan yang telah disediakan (dihasilkan dalam 30 minit sahaja)

Kerjaya idamanku bukanlah yang ini.
Tetapi lebih kepada menyelamatkan nyawa.

Aku masih mencari ketenangan hidup.
Lambat laun akan ku genggam juga.

Bersantai di bilikku adalah kegemaranku.
Di situ aku mencari kegembiraan di dalam kesedihan
Di mana aku menyendiri, mengecilkan diri.

Aku senang di NIE.
Walaupun perjalanan ke sana, bagaikan langit dan bumi.

Hidup adalah kain putih yang diwarnakan.
Terpulanglah.
Warna-warna yang ku ingin lukiskan.

Citarasa pakaianku agak mudah
Asalkan anggun dan indah.


Dr Razif juga telah mengongsi apa yang telah beliau baca. Ia adalah mengenai seorang penulis yang hanya menyedari nilai sebuah buku itu apabila beliau harus pindah. Keputusan bagi seseorang itu membuang ataupun menyimpan buku-bukunya itu bergantung kepada nilai buku tersebut. Sama ada buku itu mempunyai makna ataupun kenangan. Buku itu juga dibandingkan dengan isteri. Jauh berbeza dimana nilai seseorang wanita itu tinggi dan perkhidmatannya diperlukan oleh seorang suami. Apabila perbandingan itu dilakukan, apa yang terlintas di fikiran aku adalah eh.. eh.. ‘SEKSISnyer’. Adakah patut buku itu dibandingkan dengan seorang wanita? Seorang isteri itu tidak ‘dibuang’ seperti buku-buku kerana ia bukan barang dan diperlukan. Diperlukan untuk apa? Untuk memasak? Untuk menjaga anak-anak? Untuk mengutip baju-baju kotor si suami dan cucikan serta gosokkan untuknya. Pada pendapat aku perbandingan itu tidak patut dilakukan langsung. Mungkin aku ini agak pessemis orangnya. Siapa tidak? Aku seorang wanita juga.

Di dalam artikel itu juga, timbulnya persoalan-persoalan seperti bagaimana tafsiran orang yang membaca hasil karya seseorang itu yang telah dibuat 200 tahun dahulu. Apakah pendapat-pendapat mereka? Adakah sama ataupun berlainan?