Tuesday, November 11, 2008

Bahan bacaan yang akan kugunakan...

11th November 2008
18:30

Inilah bahan bacaan yang aku tidak sempat kongsi bersama rakan-rakan. Pada pendapatku, ia amat menarik dan berguna untuk digunakan sebagai bahan mengajar. Walaupun ia merupakan suatu teks yang agak mudah tetapi mempunyai beberepa mesej yang ingin disampaikan oleh si penulis. Mesej-mesej ini boleh dibuat bahan perbincangan di dalam kelas.


Kisah Seekor Monyet Menaiki Teksi

Kisah ini mengenai seorang penduduk Singapura bernama Ahmat. Ahmat berusia 40 tahun dan sudah berkeluarga dan bekerja sebagai pemandu teksi sepenuh masa dengan sebuah syarikat teksi yang terbesar di Singapura. Sudah lebih 15 tahun beliau memandu teksi dan itulah satu-satunya pekerjaan yang dilakukannya sejak tamat pengajian di sebuah sekolah menengah. Ahmat memang suka memandu dan agak gembira apabila syarikatnya menyewakan sebuah kereta yang lengkap dengan alat perhubungan serba canggih dalam teksinya. Dengan kemudahan pelbagai teknologi, mudahlah beliau berhubungan dengan sesiapa saja, walaupun semasa bertugas membawa penumpang.

Para penumpang teksinya terdiri dari pelbagai bangsa, usia, daerah dan sebagainya. Maklumlah, Singapura adalah kota globalisasi yang terkenal di merata dunia. Para penumpang yang menaiki teksinya, tentu sekali tidak terbilang bangsa, bahasa dan agama mereka. Malah Ahmat menyedari yang penumpang di kawasan perumahan, ‘heartland area’, kini pun sudah berbagai warna dan gaya mereka. Itu tidak ada masalah kepadanya sebab beliau boleh berkomunikasi dengan para penumpangnya dalam bahasa Inggeris. Ahmat selesa dengan pekerjaannya dan dengan pendapatan sederhana, yang masih memboleh dia membawa isteri dan dua orang anaknya bercuti di negara-negara jiran Singapura setahun sekali. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, pendapatannya agak berkurangan kerana jumlah penumpang semakin kurang akibat lebih banyak syarikat teksi baru muncul dan jumlah teksi semakin banyak dalam pasaran. Oleh itu, dia sedar yang dia perlu bekerja lebih keras untuk mendapat wang sewa teksi, minyak petrol dan juga wang pulangan hariannya.

Hari ini, seperti hari-hari biasa, Ahmat membawa penumpang dari Lapangan terbang Changi, yang terkenal sebagai lapangan terbang terbaik di dunia. Penumpangnya, seorang lelaki berkulit putih berusia pertengahan tahun, memintanya menghantarnya ke sebuah tempat di Orchard Road. Semasa memandu menuju ke destinasi, tiba-tiba telefon bimbit Ahmat berdering. Beliau menjawabnya dengan bantuan alat suara yang digantung di telinganya. Jadi dia boleh terus berbual di telefon sambil memandu. Ahmat bercakap dengan kuat, tanpa mempedulikan penumpangnya..Rupanya, panggilan dari seorang kawannya yang bertanya khabarnya dan ingin bertemu dengannya segera.
“Sekarang, tidak boleh. Aku sedang bawak teksilah.” Jawab Ahmat.

“Bila kau habis kerja. Ini hal penting, aku mesti jumpa kau cepat.” Rayu temannya.

“Oklah. Selepas aku hantar si monyet ini ke Orchard Road, barulah aku jumpa kau.” Jelas Ahmat kepada kawannya.

Tidak lama kemudian, teksi tiba di destinasi. Ahmat memberitahu penumpangnya jumlah yang perlu dibayar. Tetapi si penumpang terus keluar tanpa membayarnya. Ahmat terkejut, lantas menurunkan kaca tingkap teksinya, memanggil penumpang tersebut yang sudah melangkah beberapa tapak untuk mengingatkannya supaya membayar wang teksi.

“Mr, please pay your fare first.”

Penumpang itu kembali semula ke teksi dan berkata kepada Ahmat.

“Monyetkan tidak membawa wang. Itu sebab monyet tidak boleh bayar tambang teksi” Jawab penumpang kulit putih itu, memberi sebuah senyuman sendaan kepada Ahmat, yang tiba-tiba berubah pucat mukanya mendengar tutur penumpang tersebut dalam bahasa Melayu…..

(Dipetik dari :Bicara Ilmiah, Wacana Bahasa dan Sastera Melayu)


Kisah ‘monyet naik teksi’ ini sebenarnya berlaku dan dapat menggambarkan tahap kesedaran dan sikap masyarakat kita terhadap bahasa Melayu hari ini. Masyarakat Melayu kini ramai yang memandang rendah terhadap Bahasa Ibunda kita sendiri hinggakan kita tidak sangka bahawa Bahasa Melayu sudah begitu berkembang sehinggakan orang asing pun tahu berbual dalam bahasa Melayu.

Tambahan pula, apabila membaca petikan ini. Terdapat perasaan ingin tahu di mana monyetnya. Oleh kerana sudah tahu akan tajuk cerita ini, si pembaca akan bersikap ingin tahu sama ada seekor monyet sebenarnya telah cuba menaiki teksi tersebut, Jikalau ada, bagaimana? Sebagai pembaca, aku telah tertanya-tanya semasa membaca petikan ini. Lantas, aku rasa petikan ini cukup sesuai untuk dijadikan suatu bahan bacaan di kelas.

Aku ingin menekankan kepada para pelajar bahawa kelakuan Ahmat adalah suatu contoh kehilangan kehalusan, adab Melayu dan kesantunan Melayu, yang kita maklum melarang penggunaan kata-kata kasar terhadap seseorang, apatah lagi kepada seseorang yang perlu dihormati dan dilayani dengan baik seperti penumpang tadi. Mungkin bannyak lagi contoh ‘kekasaran’ dan ‘kebiadapan’ yang berlaku hari ini yang boleh dibincangkan di dalam kelas. Ini mungkin satu perbincangan yang boleh dilanjutkan kepada penulisan karangan.

Tambahan pula, aku juga boleh menjelaskan kepada kelas kenapa istilah ‘monyet’ itu kurang disenangi. Aku boleh menjelaskan dengan mengatakan bahawa ungkapan, imej atau simbol ‘monyet, atau kera atau beruk’ bukanlah sesuatu yang dinilai secara positif, malah sebaliknya. Menurut Tenas Effendy, dalam kehidupan orang Melayu amat banyak dikenal ungkapan yang berkaitan dengan haiwan ini, yang hakikatnya mengandungi makna buruk dan memalukan. Misalnya, “berhakim kepada beruk’ ataupun ‘bagai beruk kena belacan’.

Lantas, aku rasa, petikan ini amatlah menarik dan akan kugunakan apabila aku mengajar pada satu hari nanti.

1 comment:

Ms Marrissa said...

Hi Jun,
Cerita yang awak hendak berkongsi dengan para pelajar memanglah melucukan. Saya pasti pelajar-pelajar akan terhibur. Kalau awak terjumpa artikel sebegini, kongsilah dengan saya. Saya juga mahu berkongsi dengan pelajar-pelajar saya. Saya bersetuju dengan awak bahawa teks ini memang mudah tetapi ia mempunyai nilai tambahan. Seperti yang awak nyatakan tentang istilah monyet yang mempunyai konotasi negatif. Walaupun saya berpendapat guru harus perkenalkan karya-karya yang berkualiti kepada murid-murid, kadangkala kita harus bersikap lebih santai dan memilih artikel yang dekat di hati mereka. Sesuatu yang boleh dijadikan topik perbincangan.