Tuesday, October 28, 2008

Aku gagal untuk berfikir dari sudut pandangan seorang femenis!!

24hb Oktober 2008
5:30pm

Dr Razif ada memberi kami tugasan di mana kami harus berfikir dan berpendapat dalam sudut pandang seorang femenis. Sebenarnya, aku mengalami banyak kesukaran membuat sedemikian. Kadang kala, aku femenis orangnya. Tetapi selalunya aku tidak berpendapat sedemikian. Aku tidak tahu mengapa aku boleh terima pandangan-pandangan yang dianggap tradisional, yang menyokong lagi masyarakat patriakal. Temanku ada bertanya sama ada mungkin aku sudah lama berpasangan dan boleh kenal naluri lelaki dengan lebih mendalam dan kerana itulah mungkin aku boleh tahu perasaan seseorang lelaki. Aku diberi peluang untuk dapat “put myself in his shoes”. Aku tidak rasa itu adalah sebab mengapa aku bersikap seperti ini. Teman lelakiku tidak boleh aku anggap sebagai seseorang yang “chauvinist”. Dia sering berlaku adil. Mungkin aku telah dibesarkan di dalam keluarga yang begitu patrikal di mana bapaku memang amat berkuasa di dalam rumah sehinggakan aku sudah terpengaruh dan menganggap ia suatu perkara yang normal dan semulajadi dan tidak perlu aku persoalkan.

Inilah di antara pandangan-pandanganku. Yang kadang kala femenis. Dan kadang kala tidak femenis.

“Aku masih berpendapat bahawa lelaki boleh merokok tetapi perempuan tidak boleh merokok, kerana mereka akan kelihatan buruk jikalau merokok. Tidak macam perempuan.”

“Perempuan memandu kereta tidak secekap lelaki”

“Presiden haruslah lelaki dan bukan perempuan. Jikalau perempuan, maka tunggang langganglah negara itu kerana emosi akan dikaitkan apabila memerintah”

Tetapi aku juga berpendapat bahawa:

“Seorang suami itu haruslah menghormati kehendak dan pandangan isteri”

“Seorang wanita berhak membuat keputusan ke atas kehidupannya.”
Lantas, pandangan-pandanganku tidak semestinya dari sudut pandangan femenis sahaja. Apabila Dr Razif memberi kami tugasan tersebut, aku tidak dapat melakukannya kerana aku tidak berfikir dari sudut pandangan seorang yang begitu femenis. Di sini, aku sering tertanya-tanya sama ada jikalau aku gagal melakukan tugasan tersebut, bagaimanakah aku dapat menjadi seorang guru sastera yang baik jikalau tugasan yang semudah ini pun aku tidak dapat lakukan. Bagaimana aku dapat menukarkan pandanganku menjadi seorang yang femenis apabila diriku ini tidak begitu feminis dan apabila disuruh untuk berbuat demikian, seakan-akan aku rasa diriku ini hipokrit sahaja.

Monday, October 6, 2008

Pelajar sekarang tidak tahu kehidupan di kampung

6hb Oktober 2008

Dr Razif telah membacakan sebuah sajak yang bertajuk, “Pulang”. Setelah itu, kami telah bincangkan tentang sajak tersebut. Sajak itu adalah tentang seseorang yang berasal dari kampung, ingin pulang ke kampung setelah lama berada di tempat lain (sama ada bandar ataupun negara lain). Kami telah membincangkan tentang apabila seseorang itu sudah lama berada di Bandar, apabila beliau ingin pulang ke tempat asal usulnya, beliau tidak ingin melihat sebarang perubahan. Aku setuju dengan anggapannya bahawa aku tidak ingin melihat perubahan di kampung aku sendiri. Aku inginkan semuanya sama dengan apa yang aku sudah ditinggalkan mungkin beberapa tahun dahulu. Kadang kala, apabila sudah lama tinggal di Bandar, aku akan ingin pulang ke kampung kerana keluarga, udaranya yang bersih, suasananya yang nyaman dan sebagainya.

Tetapi, aku rasa, ini semua terpulang dengan sikap seseorang itu. Jikalau beliau sudah lama meninggalkan kampungnya, dan sudah terbiasa tinggal di bandar dengan adanya kemudahan-kemudahan teknologi dan sebagainya, beliau tidak akan gemar pulang ke kampung kerana harus mencuci pakaiannya di sungai, mengambil air di perigi dan sebagainya.

Tetapi aku runsing. Jikalau aku menggunakan sajak ini untuk dibuat perbincangan di kelas, aku tidak tahu sama ada, ini boleh dibincangkan langsung. Aku sendiri tidak berasal dari kampung. Aku Cuma mandapat kesempatan merasai suasana kampung kerana saudaraku tinggal di kampung. Jikalau gurunya tidak begitu berpengalaman, apatah lagi pelajar-pelajarnya. Dr Razif pernah mengatakan bahawa generasi kini mula mendewasa dengan cepat sekali dan berkemungkinan besar mereka tidak dapat mengingati zaman kanak-kanak mereka. Aku masih ingat lagi apabila aku menyuruh anak-anak muridku menulis sepucuk surat tidak rasmi kepada ibunya semasa mereka bercuti di kampung. Mereka mengalami kesukaran menulis surat itu kerana mereka tidak tahu tentang aktiviti-aktiviti yang oleh dilakukan di kampung. Jadi persoalannya adalah, bagaimana aku dapat membincangkan tentang topik ini apabila generasi kini kurang tahu dan minat tentang tinggal di kampung.