Thursday, September 4, 2008

KULIAH 7 - Sastera Ringan vs Sastera Berat

4hb September 2008
6:20pm

Kuliah pada hari telah membincangkan tentang Sastera ringan dan Sastera berat. Kami telah banyak membandingkan kedua-duanya. Ramai yang berpendapat bahawa sebagai seorang guru sastera, kami harus memperkenalkan kepada para pelajar sastera ringan dahulu. Kami harus memupuk minat membaca dahulu sebelum memperkenalkan sastera berat. Aku amat setuju dengan pandangan ini. Apabila aku diberi peluang untuk menjadi guru sastera, aku akan juga berbuat demikian. Tidak salah menyuruh mereka membaca sastera ringan dahulu. Jikalau disuruh membaca sastera berat, jangan harap mereka akan membacanya. Pegang pun tidak. Oleh kerana mereka belum mengenali sastera, mereka belum lagi bersedia untuk menerima sastera berat.

Aku masih ingat semasa aku masih kecil lagi.... Aku pun banyak membaca buku-buku yang tidak pernah aku tahu sama ada ia adalah karya yang berkualiti atau tidak. Aku banyak membaca sastera-sastera ringan. Pada pendapat aku, oleh kerana aku amat minat membaca buku-buku tersebut, aku mula berjinak-jinak dengan sastera berat yang dianggap lebih berkualiti. Aku setuju dengan pandangan Marrissa di mana beliau telah mengatakan bahawa bahasa berbunga juga boleh didapati dalam sastera ringan. Aku masih lagi, dahulu aku akan selalu menyalin semula frasa-frasa menarik di dalam buku notaku. Aku telah gunakan untuk kertas peperiksaanku semasa PSLE. Aku yakin karanganku cukup mantap sehingga aku telah meraih gred A*. Jadi, siapa kata, sastera ringan itu tidak berkualiti? Siapakah yang dapat menentukan apakah itu sastera berkualiti?
Pada pendapatku, apabila aku dapat bayangkan dan rasakan apa yang dialami oleh watak-watak terutama sekali watak utama, di dalam buku tersebut, buku itu bagiku sudah cukup bagus.
Ya, aku setuju bahawa kini banyak buku yang mencampurkan kedua-dua BM dan B Inggeris di dalam dialog-dialogya. Pada mulanya aku pun kurang senang dengan bahasanya. Tetapi, apabila aku mula membaca banyak buku yang sering mencampur adukkan kedua-dua bahasa itu, aku mula menjadi terbiasa dan tidak heren dengan kegunaan bahasanya. Malahan aku dapat 'relate' atau kaitkan dengan dunia realiti di mana masyarakat Melayu kini apabila bercakap juga mencampur adukkan kedua-dua bahasa.

Aku telah membesar dengan membaca buku-buku yang dianggap tidak berkualiti. Tetapi buku-buku itu juga telah menggalakkanku membaca dan meminati bahasa. Aku masih membaca buku-buku seperti ini. Pada pendapatku, tidak salah. Sama sekali tidak salah. Apabila aku membaca buku-buku seperti ini, aku dapat menghilangkan tekanan ataupun 'stress', melupakan masalah-masalahku buat sementara dan menghilangkan diriku di dalam dunia fantasi. Masa akan berlalu dengan cepat sekali. Walau apapun, sastera ringan aku masih anggap seperti teman sejatiku. Penghibur hati.

No comments: